LIFESTYLE

Pengalaman Menguruskan Jenazah

Ini adalah pertama kali Wa kena menghadap situasi kehilangan mak. Banyak benda yang dapat pelajari sepanjang menguruskan jenazah arwah mak. Arwah mak meninggal pada hari yang mulia iaitu Hari Jumaat pada pukul 10:17 malam semasa doktor ingin melakukan dialisis tiba-tiba darah mak berhenti, terus keadaan mak ketika tu sangat kritikal pada pukul 9 lebih malam macam tu doktor cakap. Masa kritikal tu doktor sempat call abah dan kami bergegas ke sana terus tapi malangnya kami sampai lewat dalam 10:40 malam.

Padahal pagi Jumaat tu dah jumpa doktor untuk dengar penerangan doktor mengenai proses sepanjang arwah mak di hospital. Bawah ni Wa share apa yang dikongsi oleh doktor dan pengalaman tengok arwah mak sebelum pergi.

Apa yg doktor share pagi tadi keadaan mak. Mak tenat. Tenat selepas dimasukkan ke ICU disebabkan bisul kat punggung….

Posted by Salwa Nasir on Jumaat, 14 Ogos 2020

Semasa sampai hospital memang akan lalui security yang menjaga pintu. Dia akan call doktor. Nak ikutkan sekarang tengah hot covid-19 jadi kawalan agak ketat tapi atas izin doktor, kami sekeluarga dapat naik ke ICU. Di gate nak naik ke lif pun ada security, sampai ke gate ICU pun ada security. Di gate ICU, security tu dah kenal kami sebab kami pernah melawat mak selalu sebelum kawalan diperketatkan lagi. Lepas diperketatkan cuma abah je yang boleh masuk atas izin doktor jika doktor minta untuk sign dokumen operation atau beli ubat dan hantar.

Malam tu, nurse ada tanya “Nak tengok mak dulu ke atau nak kami cuci dan cabut alatan semua dulu?” tapi kami pilih biar nurse selesaikan urusan mereka dulu dan baru kami datang jenguk keadaan arwah mak. Abah dah mula call masjid tanya macam mana urusan jenazah sambil melayan banyak panggilan dari kawan-kawan dan saudara mara mengucapkan takziah. Wa minta maaf kalau ada yang tak dapat nak reply sebab masa tu otak tak dapat nak berfikir dengan tenang. Cuma dapat reply untuk sedara mara yang nak datang dari jauh. Luluh hati Wa tengok keadaan mak dan susah nak terima mak dah pergi.

Oleh sebab masjid boleh uruskan pada pagi hari berikutnya, jadi nurse dah call ahli forensik untuk datang ambil mak ke bahagian forensik untuk disimpankan ke dalam peti sejuk. Jadi keesokkannya, abah buat bayaran segala kos untuk urusan jenazah. Dibawah ni ialah kos urusan jenazah:

PERKARABAYARAN (RM)
KOS PENGEBUMIAN & PENGURUSAN TANAH KUBUR400
KOS MANDI JENAZAH & KOS KAIN KAPAN400
IMAM/ TALQIN100
VAN JENAZAH150
TOTAL1050

Pagi 8.30, van jenazah ambil dari hospital terus ke masjid. Sampai je terus pengurusan masjid bawa ke tempat mandi jenazah. Wa, kakak, sepupu dan adik-adik mak bantu dan sempat lalui pengalaman cara mandikan jenazah. Jadi ada 2 benda perlu bawa untuk mandikan jenazah iaitu: 1) 2x Kain batik lepas (kain yang dah digunting) & 2) 2x Tuala mandi.

Proses mandikan jenazah:

  • Pertama kali nak mandikan tu hendaklah mayat ditutup aurat dan pastikan tidak menghalang air sampai ke badan.
  • Bersihkan segala najis-najis yang melekat dibadan
  • Kemudian mewudukkan mayat
  • Mula membasuh bahagian mulut dan hidung.
  • Kemudian basuh dikepala, rambut dan diseluruh badan dimulai sebelah kanan baru lah kiri menggunakan sabun. Jika ada rambut yang luruh perlu diletakkan bersama di dalam kafan.
  • Diharuskan ulangi basuhan untuk kali kedua dan ketiga.

Masa basuhan kedua, Wa dan kakak diberi peluang untuk melakukan basuhan yang dicampur dengan serbuk cendana kalau tak silap. Air tu berwarna kuning. Tuang air bahagian tengah dari kepala sampai ke kaki sambil mengucap “Ya Allah”, kemudian tuang air cendana bahagian kanan badan mayat sambil mengucap “Ya Rahman” dan akhiri di bahagian kiri sambil mengucap “Ya Rahim”. Basuhan seterusnya dilakukan oleh adik-adik mak tanpa ada berhenti menggunakan air biasa. Sebenarnya proses mandikan jenazah ni Wa tak terang secara menyeluruh jadi kalau nak info lebih lanjut boleh ke website: www.muftiwp.gov.my

Selesai mandikan jenazah, kami perlu lap sampai kering supaya tak basah nanti bila nak letak kat kain kafan. Bila tengok bahagian punggung arwah mak dah mula keluar nanah atau air tak silap, cepat-cepat ahli mandikan jenazah letak pampers yang ditabur serbuk cendana la kot sebab ada nampak warna kuning kat pampers tu. Kemudian jenazah mak dialihkan ke tempat nak dikafankan.

Ketika ini, mula mak dikafankan. Ya Allah nampak muka mak tersenyum. Selepas balutan pertama, ahli masjid ada letak garam yang dah ditumbuk dan juga serbuk cendana. Kemudian, selesai balut dengan kain kafan. Ahli masjid ada meletakkan minyak Attar (minyak wangi) kat muka mak. Selesai semua ni, barulah kami diberi peluang untuk cium muka mak. Nampak wajah mak berseri. Ya Allah. Kawan-kawan dan sedara mara baru boleh masuk ke dalam ruang mandian untuk tengok sebelum bahagian muka ditutup.

Selepas tu, jenazah mak dibawa ke ruang solat untuk solat jenazah. Setelah selesai solat jenazah. Kami menunggu sekejap van jenazah sebab masa tu ada satu lagi jenazah on the way. Alhamdulillah sekejap je, tak lama tunggu. Terus dibawa masuk ke dalam van jenazah dan dibawa ke tempat pengebumian yang tak jauh dari masjid. Pengebumian sangat cepat dan alhamdulillah berjalan dengan lancar. Siap semua dalam pukul 11 pagi. Syukur Alhamdulillah dengan cuaca baik masa tu juga.

Selepas tu barulah nak selesaikan pencarian Homestay^^ untuk sedara mara tinggal sebelum balik jauh. Ramai yang datang jadi rumah memang tak muat. Nasib baik jiran rumah ada masa tu dia cakap ada Homestay dibawah urusan masjid yang sama juga. Nanti Wa akan share pada post yang seterusnya.

Leave a Reply